Archive | January 2014

BENARKAH KITA SUDAH BERJAYA MEMILIKI ‘ALLAH’…?

Sebilangan daripada kita sanggup melakukan apa sahaja, untuk memastikan kalimah ALLAH tetap menjadi ‘hak mutlak’ umat Islam di Malaysia.. Segala bentuk percubaan penganut Kristian untuk menggunakan kalimah ALLAH, akan mendapat tentangan hebat di sana sini..

Membuat laporan polis sebanyak yang mampu, dengan harapan ada tindakan akan diambil terhadap pihak bukan Islam yang menggunakan kalimah ALLAH – macam pihak Polis tak ada kes lain yang lebih besar untuk diberi perhatian.. Adalah salah satu hobi orang kita…

Mengebom gereja, tapi buat kerja macam orang baling batu, sembunyi tangan.. adalah satu lagi tindakan separa dungu yang dilakukan entah untuk apa…

Dan, pihak berkuasa pula mengambil tindakan merampas semua Bible versi Bahasa Melayu, yang dicetak oleh orang Kristian.. Ini dianggap sebagai langkah yang paling pro-aktif dan hampir berjaya untuk memastikan kalimah ALLAH tetap menjadi ‘hak ekslusif’ orang Islam di Malaysia…

Errrr… orang Islam ke, orang Melayu ek…..?

Setahu saya – yang jahil tentang pengetahuan ilmu Islam ni, tak pernah ada Surah Al-QURAN atau Hadith yang disabdakan oleh RASULULLAHsaw, yang menyatakan bahawa kalimah ALLAH itu adalah hak mutlak umat Islam.. Tapi, kalau ada dan saya tidak tahu tentangnya – jutaan MAAF saya pohon di atas kejahilan saya….

Tapi, macamana pula dengan orang bukan Islam yang TERPAKSA juga menentang ‘undang-undang’ yang kita ciptakan.. apabila dengan sengaja ‘mencuri dan mencemar’ kalimah ALLAH yang menjadi ‘hak mutlak’ orang Islam di Malaysia, apabila menyebut ALLAHyarham atau ALLAHyarhamah…..?

Pelik…? Tak percaya…? OK… macamana pulak seorang pembaca berita bukan Islam yang perlu menyampaikan berita kematian seorang VVIP, VIP atau artis dan sebagainya..? Sanggupkah kita mendengar nama Allahyarham Dato’ Sudirman – contohnya, disebut sebagai MENDIANG Dato’ Sudirman.. semata-mata kerana pembaca berita bukan Islam tidak berhak ke atas kalimah ALLAH….?

Itu tak kisahlah… tapi, yang sedihnya, di alam nyata kita sebok menentang penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut Kristian.. Kita sebok buat tunjuk perasaan dan demonstrasi.. Kita berlumba-lumba buat laporan polis, menambah beban dalam pengkalan data PDRM.. Kita buat pakatan sulit untuk mengebom gereja, tapi kita takut orang tahu padahal ALLAH nampak semuanya.. Semua Bible dalam bahasa Melayu, dirampas dan dimusnahkan…..

Kemudian, kita anggap semua tindakan itu sudah hampir kepada kejayaan kita untuk ‘memiliki’ ALLAH sepenuhnya.. Namun, kita lupa bahawa dunia semakin maju dan golongan celik IT sudah ramai di negara kita.. Yang mana memungkinkan bahawa Bible Bahasa Melayu versi cetakan, sudah tidak begitu relevan.. apabila Bible Bahasa Melayu versi digital mudah didapati dengan hanya satu klik….

Walaupun Bible versi digital ini didatangkan dalam versi Bahasa Indonesia.. namun kita sedia maklum bahawa Bahasa Indonesia difahami oleh hampir semua rakyat di Malaysia – TERIMA KASIH kepada sebegitu ramainya pekerja asing warga Indonesia, terutama Bibik-Bibik yang telah mendidik generasi baru di Malaysia untuk memahami Bahasa Indonesia dengan jayanya.. Dan, tidak lupa juga dengan sekian banyaknya sinetron yang sering menjadikan surirumah terpaku di depan TV – uiks, saya tak tonton sinetron ya…. (^^,)

Jika anda menganggap saya hanya mereka cerita tentang Bible versi digital, yang masih mudah dan bebas diperolehi oleh generasi baru umat Islam era IT.. cuba anda lihat bukti bergambar ini, yang saya perolehi daripada seorang rakan.. Berhati-hati dengan tindakan kita yang pro-aktif dan juga mungkin sesekali agresif, dalam ‘memperjuangkan’ hak pemilikan ALLAH untuk kita sahaja.. siapa tahu kot-kot dalam diam-diam, anak cucu kita sedang mendalami Bible.. sedangkan kita sendiri adakalanya jarang membuka al-QURAN bersama-sama dengan mereka……

Al-kitab 3

Advertisements

REZEKI ITU HANYA DALAM JARAK SEBARIS DOA

Suatu hari, ada seorang Muslim mengeluh kerana dirasakannya bahawa ALLAHswt telah tidak berlaku adil kepadanya. Dia yang telah hampir 10 tahun kehilangan punca pendapatan, berasa kesal kerana sepanjang waktu itu, pelbagai usaha telah dibuat untuk mencari pendapatan namun tidak berjaya sebagaimana yang dikehendakinya.

Dia bertanya kepada ALLAHswt, adakah masih tidak cukup balasan ALLAHswt kepada dosa-dosanya selama ini? Apakah kerana dia tidak melakukan solat Dhuha sebagaimana ramai insan lain, maka ALLAHswt tidak membukakan pintu rezekinya?

Dia mempersoalkan, kenapa ada sesetengah orang yang dikenalinya selalu mengabaikan solat, mampu mendapat rezeki berlipatkali ganda. Sedangkan dia, yang walaupun tidak pernah melakukan Dhuha, namun sudah cuba melakukan yang terbaik terutama sekali menjaga solat fardhunya untuk berusaha memperbaiki diri dan menghindar daripada melakukan dosa-dosa seperti masa lalunya.

Di suatu malam, sebagaimana biasa, dia menangis di dalam solatnya dek mengenang nasibnya yang dianggap malang kerana segala usahanya untuk berubah, nampak seperti tidak berbaloi. Tiba-tiba dia mendengar satu suara ghaib yang bertanya :
‘Kenapa kamu menangisi nasibmu..?? Apakah kamu menganggap ALLAHswt itu zalim, sedangkan DIA telah memberikan kamu nyawa dan kekuatan untuk hidup sedangkan kamu tidak pernah mensyukurinya..?’

‘Aku telah berusaha sedaya upaya untuk menambahkan rezkiku, namun usahaku seperti
gagal. Aku sudah buntu, kerana tidak memahami tindakan ALLAHswt kepada aku. Sampai bilakah aku akan dihukum atas dosa-dosa ku yang telah lalu?? Sampai bila??’ – jawab hatinya. Solatnya menjadi tidak khusyuk walaupun dia berusaha untuk fokus.

‘Bukankah jarak kamu dengan rezki kamu itu,
hanyalah dalam jarak sebaris doa?? Apa yang selalu kamu pinta dalam doa di setiap sujud akhirmu kepada ALLAHswt??’ – tanya suara itu lagi.

Mukmin itu mengingati doa-doa yang selalu dia bisikkan dalam sujud akhirnya di setiap solat fardhu. Dia menjadikan doa-doa itu sesuatu yang lazim baginya, hingga sukar untuk diubah. 5 kali sehari, sejak lebih 5 tahun lalu, ianya sudah terlalu sebati dengan hatinya hinggakan jasad dan jiwanya bagaikan sudah diprogram untuk mengulang doa yang sama.

‘Kamu banyak mendoakan untuk insan-insan lain yang kamu sayangi. Memang wajib berdoa untuk IbuBapa, namun berdoa untuk saudara-saudara kamu hingga meninggalkan kepentingan diri sendiri??? Bukankah kamu harus juga mendoakan untuk diri sendiri..??’ – suara itu mengasak jiwa si mukmin.

‘Pernahkah kamu berdoa, meminta agar ALLAHswt memberikan kamu rezki halal yang melimpah ruah?? Bukan untuk mewah, namun sekadar untuk memudahkan kamu menjalani hidup?? Berdoalah, meminta di dalam sujudmu kepada ALLAHswt, agar DIA menghulurkan kamu rezki untuk memudahkan kehidupan kamu. In shaa ALLAH akan dikabulkan permintaanmu itu,’ – bisik suara ghaib itu lagi.

Sang Muslim yang matanya berjujuran tangisan, berusaha untuk melakukan sujud yang terakhir dan bersedia untuk berdoa. Namun, dengan tiba-tiba dia berasa dirinya sangat kerdil dan hina di depan ALLAHswt di atas dosa-dosanya yang lalu.

Maka, hatinya tidak langsung mampu untuk melafazkan doa memohon dimurahkan rezekinya. Dia hanya melafazkan doa sebagaimana biasa dan mengakhiri solatnya dengan kesal.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Zalimkah ALLAHswt kepada kita, apabila kita
merasakan apa yang telah diberikan kepada kita itu, tidak setimpal dengan apa yang telah kita korbankan untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk meminta ALLAHswt mengampunkan dosa-dosa kita..??

Ataukah kita yang zalim kerana tidak berusaha
mensyukuri setiap apa yang ALLAHswt telah berikan kepada kita, sedangkan kita tidak pernah berusaha meminta pada saat DIA bersedia untuk memberikan segala-galanya???

Ingatlah terjemahan ayat ke 60, Surah Mu’min
(Ghaafir) yang bermaksud :
‘Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu
kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina’.

Wallahua’lam……