Archive | August 2013

BERHARI-RAYA DI SINGAPURA…….

Tahun ini… Mak saya membuat keputusan untuk menyambut Aidilfitri di Singapura… Jadi, kami menyambut Raya secara ala-kadar saja di rumah… Seperti mana biasanya, ketupat pucuk kelapa dan rendang ayam ‘pulang hari’ (rendang yang dimasak tidak terlalu garing) adalah suatu kemestian….

080820132838

Pada petang Hari Raya kedua, bertolaklah kami menuju ke selatan Tanahair… meredah kesesakan jalanraya yang tidak berapa nak sesak sebagaimana yang dijangkakan… Dan, destinasi pertama kami di selatan adalah rumah Ibu Mertua kakak saya di Taman Pulai Jaya, Johor Baharu……

Taman Pulai Utama, JB

Tidak boleh lama di situ… sekadar untuk mempertemukan Mak dengan Besan sahaja… sebab terpaksa bergegas masuk ke Singapura untuk mengelakkan kesesakan di pintu keluar dari Malaysia…. Namun, atas cadangan Anak Buah, Abang Ipar saya mengikut ‘lorong tikus‘ yang rupanya sudah menjadi ‘lorong singa’… katanya jalan yang dilalui itu kurang kesesakan, tetapi hakikatnya tetap juga sesak kerana sudah ramai yang tahu laluan itu… Jadi, masih juga kami terpaksa menempuh kesesakan namun tidak di dalam jangkamasa yang terlalu lama dan pergerakan kenderaan agak bagus juga walaupun sedikit perlahan… Tak apalah, yang penting boleh ‘lepas’ dengan selamat…..

090820132871

Hari kedua di Singapura, kami dipelawa Abang Ipar untuk menyertai ‘rombongan‘ keluarganya beraya di rumah saudara mara… Dapat jugalah merasa suasana berhari raya di negara orang… Walaupun kepenatan, namun itu adalah satu pengalaman baru yang bagi saya sangat berharga…. Kata Abang Ipar : “Di Singapura, semua orang Melayu akan memakai Baju Melayu sepanjang tempoh sebulan di Aidilfitri”… Berbeza dengan orang Melayu di Malaysia, memakai Baju Melayu hanya untuk solat Aidlifitri sahaja… Hari Kedua sudah memakai Baju Orang Putih yang berjenama……

Rombongan Cik Kiah pergi beraya.... (^^,)

Rombongan Cik Kiah pergi beraya…. (^^,)

Hari ketiga di Singapura, kami masih lagi sambung kunjung mengunjung ke rumah saudara mara Abang Ipar… kiranya itu adalah sessi kunjung mengunjung yang terakhir, kerana Abang Ipar dan Kakak saya telah mula bekerja pada Hari Raya kelima…. Namun, di hari yang sama, walaupun Abang Ipar dan Kakak sudah mula bekerja… Anak Buah pula mengajak Mak dan saya berjalan-jalan melihat Kota Singa… Kebetulan hari itu, hari bekerja…. jadi, suasana bandaraya itu tidaklah terlalu sesak….

jalan2 di kota singa

Walaupun penat… tapi seronok jugalah dapat pengalaman menarik di kotaraya Temasik… Ada TIGA perkara yang paling saya suka sepanjang perjalanan itu, kerana ia satu pengalaman yang mungkin hanya biasa-biasa sahaja bagi orang lain, namun ia adalah yang istimewa bagi saya……

PERTAMA : Menikmati aiskrim potong di tengah-tengah Orchard Road… cuma 1 dollar (S$1.00) sahaja… boleh pilih satu perasa daripada lebih kurang 10-12 perasa yang ada, dan pilih saja nak makan dengan roti ataupun biskut wafer………..

aiskrim potong

KEDUA : Menonton penghibur jalanan yang tak kenal penat lelah dan malu segan, membuat persembahan di kaki lima jalan berhampiran Lucky Plaza, Orchard Road… di Malaysia sekarang ini, suasana ini pasti sudah tidak asing lagi di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur… Namun, saya menyukai pengalaman ini kerana dari dulu saya menyanjungi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap seperti ini, sanggup melakukan apa sahaja untuk ‘meminta sedekah‘ dengan cara yang terhormat dan tidak menyusahkan, apatah lagi menipu orang lain…

Mereka ini sebenarnya wajar dihargai dan andainya ada belas ikhsan di hati, sediakanlah 2 dollar (S$2.00) untuk diberikan kepadanya – ini show ada harga beb…! Sekurang-kurang pun, anda dapat berhibur dengan lagu yang diputarkan dan dapat menonton ‘mini sarkas‘ dengan harga tiket yang murah…… (^^,)

penghibur jalanan di kota singa

KETIGA : Pengalaman dikerumuni oleh burung-burung merpati yang banyak di kaki lima jalan itu… Cuma yang tak seronoknya, dilarang memberi makan kepada burung-burung ini… Sempat juga saya membalingkan sedikit roti dan dalam tak sampai seminit, berkumpullah mereka di sekeliling saya tanpa rasa takut… Tapi, ada pulak yang menegur dan menunjukkan ‘signboard‘ berdekatan… jadi, terpaksalah akur… Mana tidaknya, kalau kena tangkap, dendanya 1k dollar (S$1,000.00) sayang ooooi…..!

merpati di kota singa

Di saat saya menulis artikel ini, saya sudahpun siap mengemas pakaian untuk pulang… Ini adalah malam terakhir saya beraya di sini… In shaa ALLAH di suatu masa nanti akan datang lagi, cuma tak pasti bila dan berapa lama…. TERIMA KASIH wahai Pulau Temasek…. ingin sekali ku bertandang lagi dan menyelusuri tempat-tempat yang belum pernah kutempuhi sebelum ini… Mencari sesuatu yang baru dan belajar sesuatu yang perlu… in shaa ALLAH……….

SINGAPURA ~ SANDRA REEMER

Singapura oh Singapura
Saya harap datang lagi
Singapura oh Singapura
Kapan saya mahu kembali

Sehari kembali dari jauh
Musti jalan saya mahu
Singapura oh Singapura
Saya harap datang lagi

Selalu dengar lagu-lagu
La la la la la la la
Selalu ingat kepadamu
La la la la la la la

Singapura oh Singapura
Saya harap datang lagi
Singapura oh Singapura
Kapan saya mahu kembali

Sehari kembali dari jauh
Musti jalan saya mahu
Singapura oh Singapura
Saya harap datang lagi

METEOR ATAU TUJU-TUJU……?

Dinihari tadi, sekitar jam 1 pagi, saya dapat juga melihat sedikit fenomena hujan meteor walaupun tidak jelas… Sedikit masa dulu, saya pernah beberapa kali dapat melihat dengan jelas cahaya meteor atau tahi bintang yang melintasi ruang udara di atas rumah… Tetapi, pada masa itu saya masih belum tahu apa itu meteor, walaupun pernah melhat di dalam TV yang menayangkan filem-filem berunsur sains dan ada menunjukkan lintasan meteor ini… Maka, saya tahu itu mungkin benda yang sama…

meteor

Cuma, di kalangan masyarakat Melayu, lintasan bola berapi dan mempunyai ekor itu selalunya dikenali sebagai ‘tuju-tuju’… Tuju-tuju adalah sejenis sihir yang dihantar melalui angin oleh orang-orang tertentu, kepada mangsa dalam usaha membalas dendam ataupun sekadar hendak menganiaya…

20130206-212221

Dan, dipesankan kepada anak cucu agar lintasan berapi yang mempunyai ekor itu, ditegur dengan harapan ia akan ‘pecah’ lalu tidak sampai kepada mangsa yang dituju… Pernah juga saya menegur lintasan bola berapi ini, dan ia serta merta ghaib daripada pandangan… Jadi, saya sendiri tidak pasti apakah lintasan bola berapi yang saya nampak itu, adalah lintasan meteor atau sebenarnya tuju-tuju yang dimaksudkan…

Cuba baca cerita ini… siapa sangka, di sebuah negara yang serba moden seperti Singapura pun tak pernah terlepas daripada perbuatan seumpamanya….. (*Ingatkan kat Malaysia aje ada……..)

Kisah tentang tuju-tuju di Singapura…

Apa-apa pun… pengalaman melihat lintasan bebola api di langit luas, tidak kiralah samada ia memang benar lintasan meteor atau tuju-tuju, adalah suatu pengalaman indah yang mungkin hanya berlaku sekali dalam seumur hidup… Dan, ia akan tetap terpahat dalam ingatan kita buat selama-lamanya……..

SYUKUR, ALLAH MASIH MENYAYANGI KU….

RASULULLAHsaw bersabda :

”Jika ALLAH mencintai seorang hamba, maka ALLAH berikan cubaan baginya. Dan, jika ALLAH mencintainya dengan kecintaan yang sangat, maka ALLAH akan mengujinya.”
Para sahabat NABIsaw bertanya : ”Apakah ujiannya?” RASULULLAHsaw menjawab : “Tidak sedikit pun ALLAH tinggalkan baginya harta dan anak.”

(Baqir al-Majlisi, Bihar al-Anwar 81 : 188 ; Kanz al-‘Ummal hadits ke : 30793)

Melihat kepada Hadis di atas… saya terkenangkan nasib diri… Masya~ALLAH, sesungguhnya deep down inside, saya sebak dengan kenyataan yang terpampang di depan mata…. betapa terkadang saya mengeluh dengan keadaan diri yang kelihatan sangat hina di mata manusia… tidak berharta malah tidak punyai cahaya mata… sehingga, dengan keadaan diri saya yang sebegini… darah daging sendiri menghina secara terang-terangan…….

Ada yang pantang saja saya mempunyai sedikit kelebihan, samada punyai gajet baru walaupun hanya barangan terpakai (2nd hand) – pasti akan menyoalsiasat dari A sampai ke Z… Bila beli…? Berapa harganya…? Dan, seribu satu soalan yang hakikatnya menjurus kepada satu persoalan : Dari mana kau dapat duit beli benda tu….? Kalau melihat kepada hakikat tentang anak pula… memang pantang kalau saya tersilap menegur anak-anak buah, akan ada sindirian berbunyi : Kau apa tau, kau bukan pernah beranak…!

Astagfirullahalazimm… sangat-sangat hina saya di mata manusia, hanya kerana saya tidak berharta dan tidak beranak… Hinggakan di suatu ketika, saya pernah menyesali hidup ini, kerana saya diberikan ujian dan dugaan yang tersangat berat… Malah, bukan itu saja, ada lagi lain-lain ujian yang tak terbiaskan di sini… Kalau hinaan dan sindiran itu datang daripada orang luar, kesannya tidak terlalu mendalam… lukanya pun tak akan sebegitu parah dan kekal hingga ke akhir hayat… Tetapi, semuanya datang daripada darah daging sendiri… yang sepatutnya menjadi tempat saya mengadu dan menumpang kasih……

6487_608643462493446_1543143638_n

Namun, bila membaca hadis yang saya temui di sebuah laman sosial… saya tiba-tiba jadi begitu sebak… saya kembali kepada diri dan menyedari betapa besarnya kasih sayang ALLAHswt kepada saya, di saat semua orang membenci saya dan ada yang cuba mengambil kesempatan kepada saya di atas kekurangan diri saya…….

Apabila mengetahui saya tak ada anak, berebut-rebut lelaki yang cuba memenangi hati dan cinta saya… hanya dengan satu harapan : Dapat hidup senang dengan tak perlu nak sama-sama menanggung zuriat saya dengan bekas suami… Kalau saya tak bekerja pula, saya akan punyai banyak masa untuk meladeni semua kehendak suami baru….Ada juga di antara mereka itu yang berharap saya punyai harta tersimpan, yang tak pernah saya belanjakan kerana tiada tanggungan…….

231121_482028255161828_1535603807_n

Begitulah hinanya saya di mata manusia… tetapi, dengan kenyataan terus terang Hadis ini, saya yakin bahawa ALLAHswt tidak pernah menganggap saya hina… DIA tak pernah berhajat menjadikan saya hina dengan segala kekurangan saya… namun, itu adalah ujian yang sangat berat bagi saya tetapi mampu saya tanggung jika saya redha terhadap segala-galanya…….

Hakikat yang nyata bahawa DIA benar-benar menyayangi saya, saya hanya perlu berdoa dan dengan sedikit usaha, in-shaa-ALLAH segala doa saya akan termaqbul dengan mudah walaupun kadangkala mengambil sedikit masa…..

Astagfirullahalazimm, ampunkan daku wahai ALLAHswt yang Maha Pengampun dan suka mendengar rintihan memohon pengampunan daripada hamba-NYA… Berikanlah taufiq dan hidayah-MU kepada hamba yang sangat dhaif dengan ilmu dan kesedaran ini… Semoga hamba akan terus dapat berjalan di atas bumi-MU dengan tenang dan penuh kesyukuran, walaupun pada hakikatnya hamba tak punyai apa-apa selain daripada pegangan dan kepercayaan…. Aamiin, aamiin ya Rabbal’alaamiin………