Selingkar Kisah BENAR 4u

KERANA NAMAKU AMERICAN
Oleh : WANMALINI AHMAD ; Sunday, 17 July 2011 at 22:51

Gurauan tentang nama seseorang selalunya memang adalah di antara gurauan yang digemari oleh ramai di antara kita. Daripada sebuah nama, kadangkala lahirnya pelbagai gelaran dan juga panggilan, kadangkala ada yang tidak elok didengar – namun tetap memberi makna bahawa ia adalah milik seseorang. Tidak ketinggalan nama-nama pelik yang dimiliki oleh orang biasa yang tiada punyai sebab untuk dilabelkan sebagai ‘Orang Luar Biasa’.

Perkenalan saya dengan seorang teman melalui laman sosial Facebook baru-baru ini, membuka satu lembaran baru dalam diari kehidupan saya menghadapi pelbagai karenah dan cerita manusia di dunia ini. Beliau adalah orang biasa, bekas anggota tentera berpangkat Major (B) dan aktif dalam NGO terutama sekali yang melibatkan aktiviti di tanah tumpah darahnya – Mukah, Sarawak. Ketika artikel ini ditulis, beliau menjawat jawatan Pengurus Dewan Suarah Mesra, Mukah.

Apa yang menarik tentang beliau, adalah namanya – AMERICAN WAYNE. Sekali imbas, ramai yang menganggap dia bergurau atau dia berasal dari Negara Uncle John itu. Namun beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang lahir di sebuah kampung di Mukah, Sarawak sekitar tahun 40-an. Ibu bapanya adalah orang Sarawak dari keturunan Melanau dan memegang kerakyatan Malaysia, walaupun hidup di zaman penjajah.

Menurut cerita American Wayne, beliau pada mulanya hanya dikenali dengan nama MERICAN WAYNE dan itulah juga nama panggilannya di kampung semasa dia sedang membesar. Malah, namanya didaftarkan di dalam kad pengenalan sebagai Merican Wayne. Tiada sebarang masalah yang dihadapinya pada saat itu.

Namun begitu, masalah bermula apabila dia terjumpa dengan Surat Beranak asalnya dari zaman British. Rupa-rupanya, nama sebenar lelaki Melanau itu adalah American Wayne dan bukanlah sebagaimana yang telah ‘ditetapkan’ sepanjang tempoh itu. Maka, sebagai seorang warganegara yang dilatih untuk patuh kepada undang-undang negara tercinta, dia bertindak menukarkan nama panggilan yang telah didaftarkan kepada nama sebenar mengikut Surat Beranak.

Bermula dengan soalan berbentuk sinis tentang bagaimana dia mendapat namanya, American Wayne menerima pelbagai lelucon yang menarik berkaitan dengan namanya yang dianggap pelik oleh orang ramai. Ada yang sengaja memperolok-olokkan panggilan namanya dan ada juga yang bertaruh bahawa itu adalah nama sebenarnya.

Macam-macam pengalaman saya lalui dengan memiliki nama pelik ini. Ada satu kisah lucu yang mengaitkan saya dengan seorang rakan tentera berasal dari Australia semasa saya berkursus di sana dulu. Sessi memperkenalkan diri menjadi gamat apabila saya menghulurkan tangan sambil menyebut nama….,

Sebaik sahaja menyebut namanya : “American” – sambil menghulur salam perkenalan, rakan tentera dari Australia itu pantas menjawab : “Australian”. American Wayne menyebut lagi namanya dan tentera Australia itu menyebut pula kerakyatannya. Sehingga di suatu tahap, American Wayne tahu bahawa mereka sedang menghadapi masalah komunikasi. Segera American Wayne memberitahu : “My name is American Wayne. I’m from Malaysia.” Dan barulah tentera Australia itu faham.

Ada beberapa lagi kisah menarik berkaitan namanya yang diceritakan oleh American Wayne kepada saya. Namun kisah ini yang paling menyentak dan menyayat hati lantas membuatkan saya menulis artikel ini. American Wayne, lelaki bertaraf Warganegara Malaysia, berbangsa Melanau, lahir di Sarawak dan pernah bertugas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bersara 20 tahun lalu dengan pangkat terakhir sebagai Major – telah dinafikan haknya hanya kerana nama.

Apa yang paling menyedihkan, saya tak dapat beli rumah atau tanah hanya semata-mata kerana nama saya yang membawa maksud Warganegara Amerika. Malah, hasrat untuk menabung dalam Amanah Saham Nasional juga terbantut kerana nama tersebut tidak diluluskan penerimaannya di dalam sistem ASN,” keluh American Wayne dengan rasa kesal.

Perkara ini juga sedikit sebanyak telah mengeruhkan rumahtangga Major (B) American Wayne kerana kegagalannya mengumpul harta kekal untuk keluarga. Mujurlah simpanannya di bank mencukupi untuk hari tua dan kegunaan keluarga untuk menambah harta, walaupun bukan dengan menggunakan nama beliau.

Walau apa pun, saya bersyukur kerana diterima bekerja dalam ATM dan dipermudahkan urusan untuk berkahwin walaupun nama saya menunjukkan bahawa saya ini kononnya adalah Warganegara Amerika,” begitu keluh warga emas berusia 65 tahun ini sambil tersenyum pahit.

Terkelu lidah saya apabila mendengar cerita lelaki itu. Alangkah zalimnya perbuatan manusia dan birokrasi yang menghimpit ke atas seorang warganegara bertaraf pribumi seperti American Wayne. Walaupun ada yang menganggap bahawa salah ibu bapanya yang memberikan nama begitu, namun saya beranggapan bahawa adalah tidak wajar menafikan hak lelaki ini untuk hidup normal sebagaimana warganegara yang lain.

Nasib baik jugalah saya masih mempunyai peluang untuk mendapat tanah 3x6x7kaki di belakang masjid. Kalau tidak, saya pun tak tahu apa nak jadi…,” kata-kata akhir daripada American Wayne membuatkan saya berfikir sejenak : “APALAH YANG ADA PADA NAMA?”.

NOTA : Major (B) American Wayne sekarang sudah bersara dari Dewan Suarah Mukah dan menetap di Kuching, Sarawak bersama-sama keluarganya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s